Category Archives: Mobile Blogging

Dari Katil 331, Hospital Pakar Damansara.

Dah 2 hari saya dimasukan ke dalam wad. Puncanya, terlalu banyak makan ketam Dan diikuti dengan pizza seafood yang kaya dengan udang dan sotong. Akibatnya asid uric saya mencanak naik sehingga menghampiri 550 unit. Unit normal dalam 300 unit.

Apa yang terjadi ialah kesakitan pada kaki yang teramat sangat. Sehinggakan saya sukar untuk berjalan. Pada hari khamis, sewaktu saya merujuk ke GP, memang dah didiagnos dengan gout tapi oleh kerana masalah cover tak cover maka hanya tekaan tanpa sebarang pengujian dari. Hari sabtu, oleh kerana tidak tahan menanggung kesakitan maka saya bertemu kembali dengan GP dan minta dirujuk ke hospital. Tujuannya agar segala pengujian dapat dilakukan tanpa sebarang masalah teknikal Dan di bawah satu bumbung.

Dari GP saya ke Damansara Specialist Hospital. Mula mula darah diambil untuk diuji kemudian kaki di xray. Dan keputusannya memihak kepada pengujian darah. Sah lagi sahih, terang lagi bersuluh. Kadar asid uric tinggi. Oleh kerana ini kali pertama maka doktor memasukan saya ke dalam wad untuk pemerhatian. Malam minggu, sempat juga saya buka notebook untuk menyiapkan slide presentation kepada HBS CEO. Tak pasti sama ada dapat menghadiri sesi tersebut atau tidak. Yang pasti, isteri saya perlu meninggalkan saya dan Adam kerana bertugas di melaka selama 5 hari.

Sepanjang minggu, isteri saya cuba menghubungi penyelia beliau namun gagal. Dengar nada deringan namun tidak diangkat. Disusulkan dengan pesanan ringkas namun tetap gagal dihubungi. Akibatnya tiada pilihan melainkan keluar bertugas ke melaka. Adam akan dihantar ke taska, sekiranya saya masih ditahan diwad maka Adam akan bermalam di taska sehingga saya keluar wad.

Ujian. Bagi sesetengah insan, mereka mengharapkan keadaan akan berubah namun bagi kami, kami redha. Ini bukan pertama kali sebenarnya kami menghadapi situasi seperti ini, beberapa tahun lepas sewaktu Adam masih kecil dan ibu Adam dalam proses menghasilkan susu badan, beliau telah diarahkan oleh penyelia beliau ketika itu untuk bertugas ke luar kawasan. Akibatnya, proses menjadikan Adam sebagai anak susuan telah gagal. Betapa sedihnya kami. Semoga Allah swt memberikan balasan yang setimpal.

Dan kini, ianya berulang lagi. Cuma kali ini melibatkan saya dihospital dan penyelia yang lain. Pesan saya mengingatkan diri saya, jangan berlaku zalim pada orang lain. Sebab, kita yang buat keputusan dan kita bertanggungjawap di atas kesan dan akibat dari keputusan kita.

Posted with WordPress for BlackBerry.

Konflik: Keluarga dan kerja

Setiap insan mempunyai 24 jam dalam kehidupan. Tidak lebih dan tidak kurang. Ada insan yang merasakan jumlah 24 jam itu mencukupi malah ramai juga yang rasa tidak mencukupi. Ini membawa kepada pelbagai sistem pengurusan masa diwujudkan seperti Getting Thing Done.

Namun sebaik mana pun perancangan masa konflik agihan masa tetap wujud. Kerja dan keluarga merupakan isu agihan masa semenjak dahulu lagi. Ada yang berjaya mengagihkannya dengan begitu baik namun ada yang gagal.

Dua dua menagih masa yang lebih. Dan kedua duanya mempunyai risiko yang tinggi sekiranya gagal mendapat masa yang dikehendaki. Kedua duanya juga menjanjikan ganjaran yang tinggi.

Namun jarang ada yang mampu mengagihkan masa dengan baik. Pastinya akan berlaku keadaan terlebih dan terkurang antara keluarga dan kerjaya. Terpulang kepada keutamaan individu, maka neraca masanya akan berat ke arah keutamaan tersebut.

Ada yang memberikan tumpuan kepada kerjaya. Kerja sehingga lewat malam dan hujung minggu juga bekerja. Masa untuk keluarga berkurangan. Risiko, anak  anak tidak mengenali ayah dan ibu.

Ada yang menumpukan kepada keluarga. Tiada kerja lebih masa, dan tiada kerja hujung minggu. Masa dihabiskan di rumah bersama keluarga. Biasanya, susah baginya untuk naik pangkat.

Jika kita kembali kepada fitrah, harta dunia diperlukan hanya di dunia. Harta yang paling berharga ialah anak anak. Setelah kita mati, anak anaklah yang diharapkan untuk mendoakan kita. Majikan kita tidak akan mengingati kita. Jauh sekali untuk mendoakan kita.

Pesan saya, luangkan masa dengan anak anak agar mereka kenal ayah dan ibunya. Yang memberi rezeki adalah Allah swt. Sekiranya majikan gagal memahami keperluan mengutamakan keluarga maka  berhijrahlah ke tempat lain. Bumi Allah swt ini luas.

Artikel yang keluar dalam Harian Metro, Khamis, 14 Januari 2010

Ayah pengacau

Oleh Rashidi Karim

am@hmetro.com.my

KANGAR: “Saya mengaku dia bapa kandung saya tapi kami tidak serasi hidup bersama kerana kehadirannya membawa masalah kepada rumah tangga saya.

“Lagipun, dia memang suka merempat dan hidup sebatang kara. Dulu pun dia duduk seorang diri di Langkawi,” kata lelaki yang mengaku meninggalkan bapanya di pondok bas berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Datuk Wan Ahmad di sini, 7 Januari lalu.

Ketika dihubungi Harian Metro semalam, lelaki berusia 30-an itu tanpa rasa bersalah mendakwa bapanya, Abdul Rahman Talib, 57, memang suka merempat dan lebih gemar hidup sebatang kara.

“Saya mengaku mengajak dia tinggal ke rumah saya di Perlis selepas lama hidup seorang diri di Langkawi .

“Bagaimanapun, selepas dua minggu bersama, kehadirannya menimbulkan masalah kepada rumah tangga saya. Walaupun dia bapa kandung, pada masa sama saya juga perlu menjaga keharmonian keluarga termasuk isteri dan anak-anak,” katanya.

Menurutnya, bapa dan ibunya bercerai beberapa tahun lalu. Ibunya yang sudah berkahwin lain serta menetap bersama suami baru pula sering bertandang ke rumahnya di Beseri, dekat sini.

“Kekerapan ibu bertandang ke rumah mendorong saya meminta bapa mencari tempat lain untuk dia berteduh,” katanya yang berniaga secara kecil-kecilan di sini.

Ditanya kenapa dia tergamak meninggalkan bapanya yang uzur di tepi jalan, lelaki itu dengan selamba mendakwa memberi alasan bapanya tiada saudara-mara di Perlis kerana berasal dari Langkawi.

“Ketika membawanya dengan kereta, dia suruh saya berhenti dan menurunkannya sebaik terlihat pondok bas di tepi sekolah itu,” katanya. Harian Metro semalam melaporkan seorang warga emas yang baru selesai menjalani pembedahan jantung di Hospital Pulau Pinang terkejut apabila ditinggalkan anaknya bersama bungkusan pakaian di pondok bas terbabit.

Kejadian memilukan itu berlaku apabila Abdul Rahman yang baru dibenarkan keluar dari hospital menjejakkan kaki ke rumah anak lelakinya di sebuah taman perumahan dekat sini.

Dalam perkembangan berkaitan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis memberi perlindungan kepada Abdul Rahman dengan menempatkannya di Rumah Orang Tua Batu Bertangkup, Chuping, dekat sini, kelmarin.

Beberapa pegawai JKM menemui Abdul Rahman di pondok bas berhampiran SK Datuk Wan Ahmad sebelum membawanya ke pusat perlindungan berkenaan, kira-kira jam 7 malam.

Timbalan Pengarah JKM negeri, Ku Chik Ku Mat Esa, ketika mengesahkan perkara itu, berkata Abdul Rahman mendapat keistimewaan memasuki rumah orang tua Batu Bertangkup kerana faktor kesihatan.

“Dia baru menjalani pembedahan jantung dan memerlukan penjagaan sempurna. Kehidupannya lebih terjamin menetap di sini yang dikhususkan untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.

“Kami sedih membaca laporan Harian Metro semalam yang mendedahkan perbuatan tidak masuk akal dilakukan seorang anak terhadap bapa kandung sendiri.

“Sebaik mendapat maklumat, saya mengarahkan beberapa pegawai mencari dia sebelum menjumpainya di pondok bas berhampiran sekolah terbabit dan kini Abdul Rahman menetap bersama lapan penghuni lain di rumah perlindungan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Abdul Rahman turut diberikan bantuan bulanan RM150 selain makan minum percuma disediakan JKM di situ.

Sementara, Abdul Rahman ketika ditemui di rumah orang tua itu bersyukur kerana mendapat perlindungan sewajarnya daripada JKM.

“Saya tak mahu memikirkan perbuatan dia (anak) lagi. Walaupun sedih, saya `menghormati’ perbuatannya membuang saya. Lagipun, mereka sekeluarga tak pernah menghubungi selepas membuang saya di pondok bas itu sejak seminggu lalu,” katanya.

Selamat Tahun Baru 2010

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera

Selamat menyambut tahun baru 2010. Secara rasminya blog saya ini akan mula beroperasi. Dengan domain dan lokasi baru, Insya Allah, akan membawa pengharapan agar segala catatan, pesanan, penulisan akan dikongsikan bersama agar membawa manafaat buat diri kita.

Tahun baru yang mendatang menyaksikan beberapa perubahan. Antaranya, saya diamanahkan tanggungjawab baru walaupun di syarikat yang sama. Walaupun tugas yang hampir sama Pengurusan Produk namun lebih khusus dan fokus kepada produk yang terlibat dalam industri Perkhidmatan Immigresen. Semestinya akan sama sama memastikan visi dan misi syarikat akan diutamakan dalam melaksanakan amanah yang diamanahkan.

Pastinya 2010, akan terus memegang amanah sebagai seorang ayah kepada seorang anak yang sedang membesar. Memastikan segala keperluan rohani, jasmani dan intelektual dan spritual sentiasa memberikan cabaran besar. Insya Allah, semakin hari semakin berusaha untuk menjadi seorang ayah yang cemerlang pada adam. Tidak lupa juga mengharapkan agar adam akan mempunyai adik pada tahun mendatang.

Tidak lupa untuk mengukuhkan lagi keazaman untuk menjadi suami yang sentiasa memahami, menghormati dan menghargai segala pengorbanan seorang isteri. Semakin mari semakin sayang. Insya Allah, ditahun mendatang ini, usaha untuk mencarikan calon madu isteri saya akan dipergiatkan. Akan dipastikan hanya wanita yang layak saja yang boleh menjadi madu isteri saya.

Sebagai seorang anak, jasa ibu tetap dikenangan. Segala usaha untuk berbakti kepada ibu dan ibu mertua saya akan terus dilaksanakan. Tahun depan akan menyaksikan lebih kerap untuk bersama mereka. Insya Allah, tugas sebagai abang, hanya memantau dan menghulurkan bantuan sekiranya adik-adik memerlukan akan diteruskan.

Sebagai Hamba Allah swt, pastinya tahun mendatang disambut dengan penuh kesyukuran. Mengharapkan agar usia masih lagi panjang untuk melaksanakan amal amal yang soleh. Sedekah jariah perlu ditingkatkan jumlah nilainya serta lebih ramai yang dapat dibantu walaupun sumber kewangan yang terhad. Insya Allah, rezeki Allah swt yang sediakan. Usaha pencarian rezeki akan dilakukan dengan penuh pengharapan. Selain itu usaha untuk menambahkan ilmu agama juga akan dipertingkatkan. Insya Allah, kelahiran blog baru ini juga adalah satu usaha untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

Hidup dimuka bumi Allah swt tidak terlepas dari bermasyarakat. Jiran adalah mereka yang paling hampri dengan kita. Tahun 2010 akan menyaksikan aktiviti kemasyarakatan akan diberikan keutamaan walaupun persatuan penduduk telah ditarik balik pendaftaran. Namun aktiviti persatuan penduduk akan terus disertai dan dibantu semampu yang mungkin. Insya Allah.

Begitu banyak yang dirancangkan untuk tahun 2010. Namun saya sedar, Kita mampu merancang dan Allah swt yang menentukan. Insya Allah sama sama kita berdoa.

Wasalam
Mohamad Siss M Jamil