Salam Ramadhan

Rasanya tidak terlalu lewat mengucapkan salam ramadhan. Hari ini hari ke dua puasa.  Dan malam tadi, aku di uji dengan ujian yang paling hebat rasanya.  Keadaan kepalaku semakin sakit. Begitu juga dengan rahangku. Urat ku juga terasa tegang. 

Malam tadi, kami sekeluarga berbuka di masjid Al Mukarahmah.  Memang telah diputuskan dalam mesyuarat antara aku dengan zaujahku untuk berbuka puasa di masjid. Agar mudah untuk bersolat dan seterusnya berterawikh.  Pada malam pertama semuanya berjalan dengan baik. Adam sesekali sahaja masuk ke ruang solat. Tapi tadi malam aku benar benar rasa tercabar. Berulangkali aku nasihatkan dan pesankan, jangan lalu dihadapan orang bersolat. Lalu dibelakang orang bersolat. Jangan bermain dan berlari di saat orang bersolat..

Setelah selesai solat isyak, di saat orang sedang solat sunat, adam berlari ke arahku sambil melalui di hadapan orang yang bersolat. Hatiku begitu marah sekali. Sebelum itu, di saat orang bersolat isyak, adam berlari lari sambil melompat lompat di atas besi laluan orang cacat menghasilakn bunyi bising.  Lantas aku dukong adam dan bawa ke luar dari masjid. Dengan perasaan marah,  aku cuba memukul kaki dan cuba menampar muka adam harith. Syukur Alhamdulillah,  tanganku tidak sampai menyentuh kaki dan  muka adam. Tak sampai hati untuk aku memukul anak kecil ini.  Adam meraung, menangis.  Aku campakkan di dalam kereta, lantas aku biarkan adam bersendirian di dalam kereta seketika. Kedengaran adam menangis begitu kuat.

Semakin masa berlalu, suara adam semakin perlahan. Ku buka pintu kereta dan mula berbicara dengan adam. Tapi mungkin kemarahanku yang masih belum reda, aku terus menengking adam. Mengingatkan kembali apa yang telah dilakukannya.

Akhirnya aku pulang ke rumah bersama adam. Zaujahku  tinggalkan saja di masjid. Sampai ke rumah, aku sms zaujahku,  memaklumkan bahawa beliau perlu jalan kaki untuk pulang ke rumah. Sementara itu,  aku buatkan susu untuk adam dan mengarahkan adam untuk tidur.  Lampu ku matikan.  Dan kami berdua di atas katil  di saat orang lain sedang bersolat terawikh. 

Aku terjaga lebih kurang pukul 10 lebih.  Apabila zaujahku pulang dari masjid. Rupanya adam masih belum tidur. Menyirap lagi darahku. Lantas aku menjerit, “Pergi masuk dalam bilik adam dan tidur.  “  ..  Aku kembali tidur. 

Entah pukul berapa, tiba tiba, kaki ku terasa begitu kejang.  Begitu sakit sekali  ..  Terpaksa meminta zaujahku membantu. Menyapukan minyak pada kakiku. Alhamdulillah,  kaki semakin pulih. 

Paginya, aku tidak mampu untuk bersolat berdiri.  Aku tunaikan solat sunat terawikh , diikutinya tahjud dan ku tutp dengan witir sambil berdoa agar diberikan keberkatan dan keampunan.  Selesai bersolat,  aku kejutkan zaujahku.  Jam sudah pukul 4.30 pagi.  Aku terus ke bilik adam. Takut kalau aku telah lakukan kezaliman fizikal terhadap adam. Alhamdulillah,  tiada yang lebam.  Aku usap rambutnya sambil berdoa. Berdoa agar adam harith menjadi anak yang soleh. Yang taat kepada ayah dan ibu. Menjadi jutawan yang kaya, yang berilmu, beriman dan beramal soleh serta yang bertakwa. 

Pagi tadi,  Alhamdulillah,  mudah adam bangun, mandi pagi dan bersiap ke sekolah. Alhamdulillah. Sepanjang perjalanan ke tadika adam, aku beristigfar banyak banyak. sambil mengucap syukur kepada Allah swt. 

Aku bertanya adam, “malam nie nak ke masjid lagi ke?” , 

Adam kata, “Nak..”

Aku bertanya lagi, “Nak lari lari ?”

Adam menjawap, “Tak nak  ..  Adam nak duduk sebelah ayah saja…. “

Mungkinkah petang nanti aku akan membawa adam ke masjid lagi  ? …