Selamat Tahun Baru 2010

Assalamulaikum dan Salam Sejahtera

Selamat menyambut tahun baru 2010. Secara rasminya blog saya ini akan mula beroperasi. Dengan domain dan lokasi baru, Insya Allah, akan membawa pengharapan agar segala catatan, pesanan, penulisan akan dikongsikan bersama agar membawa manafaat buat diri kita.

Tahun baru yang mendatang menyaksikan beberapa perubahan. Antaranya, saya diamanahkan tanggungjawab baru walaupun di syarikat yang sama. Walaupun tugas yang hampir sama Pengurusan Produk namun lebih khusus dan fokus kepada produk yang terlibat dalam industri Perkhidmatan Immigresen. Semestinya akan sama sama memastikan visi dan misi syarikat akan diutamakan dalam melaksanakan amanah yang diamanahkan.

Pastinya 2010, akan terus memegang amanah sebagai seorang ayah kepada seorang anak yang sedang membesar. Memastikan segala keperluan rohani, jasmani dan intelektual dan spritual sentiasa memberikan cabaran besar. Insya Allah, semakin hari semakin berusaha untuk menjadi seorang ayah yang cemerlang pada adam. Tidak lupa juga mengharapkan agar adam akan mempunyai adik pada tahun mendatang.

Tidak lupa untuk mengukuhkan lagi keazaman untuk menjadi suami yang sentiasa memahami, menghormati dan menghargai segala pengorbanan seorang isteri. Semakin mari semakin sayang. Insya Allah, ditahun mendatang ini, usaha untuk mencarikan calon madu isteri saya akan dipergiatkan. Akan dipastikan hanya wanita yang layak saja yang boleh menjadi madu isteri saya.

Sebagai seorang anak, jasa ibu tetap dikenangan. Segala usaha untuk berbakti kepada ibu dan ibu mertua saya akan terus dilaksanakan. Tahun depan akan menyaksikan lebih kerap untuk bersama mereka. Insya Allah, tugas sebagai abang, hanya memantau dan menghulurkan bantuan sekiranya adik-adik memerlukan akan diteruskan.

Sebagai Hamba Allah swt, pastinya tahun mendatang disambut dengan penuh kesyukuran. Mengharapkan agar usia masih lagi panjang untuk melaksanakan amal amal yang soleh. Sedekah jariah perlu ditingkatkan jumlah nilainya serta lebih ramai yang dapat dibantu walaupun sumber kewangan yang terhad. Insya Allah, rezeki Allah swt yang sediakan. Usaha pencarian rezeki akan dilakukan dengan penuh pengharapan. Selain itu usaha untuk menambahkan ilmu agama juga akan dipertingkatkan. Insya Allah, kelahiran blog baru ini juga adalah satu usaha untuk berkongsi ilmu pengetahuan.

Hidup dimuka bumi Allah swt tidak terlepas dari bermasyarakat. Jiran adalah mereka yang paling hampri dengan kita. Tahun 2010 akan menyaksikan aktiviti kemasyarakatan akan diberikan keutamaan walaupun persatuan penduduk telah ditarik balik pendaftaran. Namun aktiviti persatuan penduduk akan terus disertai dan dibantu semampu yang mungkin. Insya Allah.

Begitu banyak yang dirancangkan untuk tahun 2010. Namun saya sedar, Kita mampu merancang dan Allah swt yang menentukan. Insya Allah sama sama kita berdoa.

Wasalam
Mohamad Siss M Jamil

2 thoughts on “Selamat Tahun Baru 2010

  1. Ummi Adam

    Tahniah atas kelahiran blog baru anda, ditapak yang baru. Semoga isi kandungannya juga baru, sentiasa segar dan ceria. Jangan cuma bersemangat di peringkat awal sahaja.

    Tahniah juga atas position baru Anda di Syarikat. Walaupun tidak dinyatakan directly mengenai kenaikan pangkat, tetapi dengan pertambahan tugas dan tanggungjawap, bermakna pangkat juga naik.

    Good Luck for your future…

  2. mohdsiss Post author

    Rujuk posting Jawatan Baru Kerja Lama. Tiada kenaikan pangkatlah …. apa pun ianya tetap disyukuri kerana terlalu banyak yang Allah swt berikan kepada kita yang sewajibnya kita syukuri.

Comments are closed.