Bingung Seketika…

Ramai yang mengetahui, saya sedang berusaha untuk mencari calon zaujah ke dua(2). Zaujah saya yang sedia ada, telah pun secara verbalnya bersetuju ( tak tahulah kalau hanya dimulut tetapi tidak dihati. Soal di dalam hati itu hanya Allah swt yang tahu.)  Insya Allah, zaujah saya redha dengan keputusan saya untuk bernikah seorang lagi.

Maka saya pun meminta bantuan sahabat saya untuk membantu saya mencari calon yang sesuai. Syarat yang saya letakkan memang mudah. Mestilah yang mempunyai pengetahuan Agama Islam, bercita cita menjadi isteri yang solehah serta sanggup hidup susah dengan ahli keluarga saya.  Maka beberapa orang calon telah dikemukakan kepada saya.

Alangkah terkejutnya saya apabila membaca sebahagian dari syarat syarat yang diletakkan oleh beberapa orang wanita muslim yang kononnya sanggup menjadi isteri ke dua ( tiga atau empat). Antaranya:

Kalau yang masih bujang:

1. Menyediakan segala kemudahan termasuk kenderaan dan rumah.

2. Berlaku adil dengan giliran.

3. Persetujuan dari isteri yang sedia ada tanpa paksaan

4. Menanggung segala hutang dan perbelanjaan rumahtangga

5. Menyediakan elaun sebagai seorang isteri yang berjumlah RMXXXX dan sekiranya mempunyai anak kelak, menyediakan RMXXX bagi setiap orang anak sebagai perbelanjaan bulanan.

Kalau yang janda/balu (Sama seperti di atas dengan penambahan):

1.  Menanggung dan menyara semua anak sedia ada.

2. Menyayangi anak saya seperti anak kandung.

3. Menerima segala kelemahan dan kekurangan saya.

4. Memahami jiwa saya serta berkomunikasi dengan lemah lembut dengan saya.

5. Tidak menipu saya.

Pandangan peribadi saya, ramai wanita yang fokus kepada apa yang bakal suami “kena” berikan atau sediakan tanpa melihat kepada diri sendiri dan kemampuan bakal suami. Soalan yang sepatutnya ditanya kepada diri sendiri adalah :

1. Adakah aku benar benar ikhlas untuk menjadi madu kepada isterinya?

2. Apa yang dapat aku sumbangkan kepada keluarga baruku?

3. Bagaimana aku boleh membantu suamiku untuk menjadi suami yang soleh dan seterusnya meminpin dan membimbingku dan anak anak menjadi isteri solehah dan anak anak yang soleh serta solehah?

4. Redhakah aku dengan takdir Allah swt.

Poligami bukan isu kecil tetapi isu besar. Ianya bukan hanya untuk keseronokan namun ianya soal membina keluarga yang diredhai dan dirahmati oleh Allah swt. Tidak semua wanita yang berkata “aku sedia untuk menjadi isteri kepada suami orang”  layak untuk berpoligami.

Saya mencari isteri yang dapat sama sama membina keluarga yang “mawaddah, sakinah dan rahmah”  tapi kalau sebelum berkahwin dan demand yang macam macam  …  maka  letih saya dibuatnya ….  ( sambil  mencampakkan beberapa resume ke dalam tong sampah  … )

Tahniah juga mereka yang telah disenarai pendek.  Penilaian selanjutnya akan dilakukan oleh zaujah kesayangan saya.

10 tahun hidup dengan zaujah kesayangan saya menyebabkan beliau lebih mengerti dan memahami keperluan keluarga. Keutamaan adalah kepada pembinaan keluarga.

Nasihat ikhlas dari saya,  kalau sekiranya saya seorang tan sri, dato atau  orang kaya lagi jutawan maka, semestinya tidak menjadi kesalahan untuk meminta minta tapi oleh kerana saya seorang yang miskin, hidup susah, maka saya mencari calon isteri yang sedia untuk hidup susah dengan saya,  hidup mencari keredhaan Allah swt.  Makan apa yang saya makan, minum apa yang saya minum, tidur di rumah yang kecil dan bersyukur dengan apa sahaja kurniaan Allah swt.

One thought on “Bingung Seketika…

  1. Pingback: LOVE IS LIKE WAITING FOR A BUS | Halaman Rindu

Comments are closed.