Tip: Semakin Hari Semakin Sayang: – Nasi Ayam oh Nasi Ayam

Gambar Hiasan - Gambar sebenar tidak sempat diambil kerana saya dan adam telah pun menghabiskannya. Tak sempat nak ambil gambar.

Pagi ini, saya memang berniat hendak mengeluarkan peluh. Oleh kerana, tinggal di apartment maka aktiviti seperti mencangkul, bercucuk tanam memang mustahil untuk dilakukan. Maka, ke Taman Metropolitan Keponglah tempat saya mencurahkan peluh. Aktiviti mengeluarkan peluh amat penting. Ianya dapat meredakan tekanan perasaan, kerja dan juga kehidupan. Sambil berlari atau berjalan mengelilingi tasik, dapat juga mengirup udara segar sambil melihat kehijauan tumbuhan dan kebiruan awan berarak di angkasa. Biasanya adam dan isteri tersayang akan bersama saya, tapi pagi tadi,  mereka masih lagi tidur sewaktu saya terjaga. Kesian pula hendak memaksa mereka bersama sama saya. Mungkin lain kali.

Pulang dari taman tasik,  saya teringat, semalam isteri tersayang ada menyatakan bahawa hari ini, beliau ingin masak nasi ayam. Maklumlah, adam agak sukar untuk makan nasi putih berlauk. Terpaksa memaksa atau memberikan alternatif lain seperti susu khas untuk mengisi perut apabila adam gagal dipaksa menjamah makanan.  Kami hanya mengetahui yang adam suka makan nasi berempah semasa kami makan di retoren arab. Sepinggan nasi arab habis dimakan oleh saya dan adam. Kemudian kami cuba sekali lagi dan memang terbukti  adam suka makan nasi berempah. Lantas, saya pun terus menghubungi isteri tersayang.  Bertanya apa bahan yang perlu dibeli untuk memasak nasi ayam.  Maka senarai yang saya perolehi ialah,  ayam seekor, Bawang, Halia dan  Daun Sup.

Terpinga pinga saya seketika. Itu saja ke bahan nak buat nasi ayam.  Mungkin tidak.  Oleh kerana Blackberry Storm saya boleh mengakses internet maka saya pun bertanya Google. “Resipi Nasi Ayam”. Satu muka penuh dengan url untuk resipi Nasi Ayam.  Semestinya salah satu link yang diberi adalah http://resepi.mesra.net/. Maka saya pun merujuk senarai bahan yang diperlukan. Isk lebih banyak dari apa yang tersenarai.  Berbekal senarai baru, maka saya pun menuju ke pasar dengan penuh yakin.

Ayam, saya beli dari penjual ayam yang kebetulan juga merupakan jiran saya diblok yang sama cuma berbeza tingkat saja. Ini memberikan penjual tersebut kelebihan kerana bagi saya, perlu utamakan jiran dalam beberapa perkara. Dalam perjalanan pulang, saya singgah di gerai roti canai. 5 keping roti canai untuk sarapan pagi.

Sampai di rumah, saya di sambut oleh adam. Anak kesayangan saya. Seronok apabila dapat melihat ayahnya pulang.  Yang paling best, apabila isteri tersenyum melihat saya membelikan bahan bahan yang diperlukan untuk masak nasi ayam. Lebih dari apa yang telah disenaraikan.  Satu pelukan mesra dari isteri saya terima.

Sepanjang pagi,  saya membantu isteri mengupas dan memayang bawang. Kerja biasa yang lelaki suka buat.  Selebihnya, serahkan kepada yang pakar. Setelah selesai, (malas)  hehe saya pun “temankan” adam melayan apa yang dihidangkan di kaca televisyen.  Sambil melipat selonggok baju di atas sofa.

Waktu yang paling seronok apabila Nasi Ayam telah pun sedia untuk dimakan.  Tak sempat baca doa makan, saya dan adam terus saja  menjamah Nasi Ayam. Enak dan sedap. Banyak juga saya dan adam makan.

Pengajaran:

Perkahwinan adalah satu perkongsian. Perkongsian tanggungjawab. Saling bantu membantu. Menolong antara satu sama lain. Asas kepada perkahwinan saya adalah untuk melakukan amal amal yang soleh sebanyak yang mungkin dan mengharapkan agar Allah swt memberikan yang terbaik dan dipermudahkan segala urusan. Cinta tanpa syarat,  menurut Ustaz Hasrizal (SaifulIslam.com). Itu yang saya cuba serapkan dalam diri. Melakukan amal tanpa mengharapkan pulangan dari pasangan.  Dalam keadaan isteri yang masih lagi diuji dengan kesakitan,  tak tergamak saya nak mengambil beliau di rumah, kemudian ke pasar untuk membeli bahan bahan yang diperlukan untuk memasak nasi ayam. Tidak salah kita melakukan sedikit usaha, untuk membantu meringankan urusan orang yang kita sayangi.  Kita mungkin tidak dapat membantu lebih dari apa yang mampu kita bantu tapi percayalah kita tetap boleh membantu dalam perkara lain.

Saya tidak pandai untuk memasak nasi ayam, tapi ketika isteri saya bertungkus lumus di dapur menyediakan nasi ayam, saya cuba membantu dengan cara iaitu dengan melipat baju.  Sekurang kurangnya apa yang dilakukan adalah amal amal soleh dengan harapan diterima oleh Allah swt. Amin.