Pengharapan

Awal tahun, ramai yang mula menyatakan azam tahun baru mereka. Masih lagi di awal tahun dan dalam minggu pertama tahun baru maka saya ingin berkongsi berkenaan dengan pengharapan. Setiap insan yang hidup dimuka bumi pastinya ada mengharapkan sesuatu. Ada yang mengharapkan akan memperolehi sesuatu sama ada berbentuk material seperti harta benda mahupun kuasa. Maka senarainya akan begitu panjang.

Ramai juga yang mula merancang dan menyusun strategi untuk mendapatkan apa yang mereka harapkan. Ini kerana mereka tahu tahu bahawa sekiranya mereka gagal untuk merancang, mereka sebenarnya merancang untuk gagal. Dan pastinya ada yang merancang namun tidak mendokumentasikan apa yang dirancang. Hanya di dalam minda sedar mereka dan kemungkinan besar mereka akan lupa setelah beberapa minggu masa berlalu.

Sedikit peringatan kepada diri saya. Tidak salah untuk membuat pengharapan. Terutama pengharapan yang baik. Namun seharusnya pengharapan perlu disusuli dengan perancangan dan tindakan seterusnya pengharapan tersebut disandarkan kepada Allah swt. Sebagaimana yang sering diucapkan oleh orang ramai, bertawakal. Pengharapan adalah sama dengan DOA. Kalau hanya berdoa tanpa usaha serta tawakal maka, doa hanya tinggal doa.

Jangan sesekali kita sandarkan pengharapan kita pada insan. Yang memberi dan yang mengizinkan adalah Allah swt. Kita sebagai hamba Allah swt semestinya menyandarkan segala usaha pada Allah swt. Allah swt yang memberi rezeki, yang mengizinkan sesuatu itu berlaku. Perancangan perlu ada dan didokumentasikan. Apa yang kita mahukan dan bagaimana kita hendak memperolehinya. Apa langkah langkah yang perlu diambil untuk memastikan kita memperolehi apa yang kita harapkan. Namun dengan hanya menyenaraikannya sahaja tidak mencukupi. Ianya perlu dilaksanakannya. Dan pelaksanaannya harus diikuti dengan kualiti serta keikhlasan yang tinggi. Yang paling penting ianya seharusnya mengikut piawai syariah. Tiada penipuan, tiada penindasan dan tiada kezaliman. Benar ianya mencabar namun Insya Allah penuh dengan keberkatan.

Akhirnya setelah merancang, bertindak dan berusaha maka bagi setiap peringkat, kita sandarkan pada Allah swt. Berdoa dan terus berdoa. Bermula dari peringkat merancang, bertindak dan berusaha maka seiring dengan doa. Bukan setelah bersusah sehingga melupakan Allah swt, kemudian baru nak berdoa pada Allah swt. Maknanya apa yang kita lakukan, kita perlu iringkan dengan doa.