Category Archives: Personal

RM10 … cukup ke?

Entah kali keberapa dalam walletku hanya tinggal RM10 sahaja. Mungkin bagi sesetengah insan akan merasa takut, risau dan runsing di saat kesempitan wang. Beruntung mereka yang Allah swt kurniakan rasa cukup. Berapa yang ada, mereka tetap bersyukur terhadap Yang Maha Penyayang.

Sarapan pagiku bernilai RM1.90 untuk sekeping roti canai (RM0.80) dan teh o (RM1.00)
Makan tengahariku bernilai RM3.00 untuk sepinggan nasi, seketul ayam di masak kari dan segelas air suam.
Minum petangku bernilai RM2.80 untuk 2 keping roti canai (RM1.80) dan teh o(RM0.80)

Saat aku sampai ke rumah, aku masih memiliki RM2.20.

Rasa syukur dan redha terhadap segala ketentuan Allah swt. Esok?… Insya Allah. Ada rezeki untukku.p

“Kaedah bedah cara batin haram” .. Muhammad Asyraf

Kaedah bedah cara batin haram
Oleh Muhammad Asyraf
2011/09/13

Perbuatan dengan bantuan jin boleh pesong akidah
ISLAM mementingkan kebaikan dan kesihatan. Di samping itu Islam menyuruh umatnya berikhtiar mengubat apabila dijangkiti sebarang penyakit. Ada banyak ayat al-Quran dan hadis berkaitan penjagaan kesihatan dan mengubati penyakit.

Malah ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga.” (Surah Al-Isra’, ayat 82)

Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang yang zalim melainkan kerugian juga. – Surah Al-Isra’, Ayat 82

Amalan perubatan menggunakan doa atau bacaan ayat al-Quran adalah satu daripada cabang rawatan diakui syarak sebagai amalan mulia. Ia dipanggil ruqyah ataupun jampi bersesuaian syarak. Malah ia diamalkan pada zaman Rasulullah dan salafussoleh.
Daripada Auf bin Malik katanya: “Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi SAW, Ya Rasulullah SAW apakah pandangan anda mengenai jampi? Lalu Baginda SAW meminta mereka memperdengarkan jampi digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda SAW menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik.” (Hadis riwayat Muslim)
Kalangan masyarakat menamakan rawatan secara ruqyah saja dianggap perubatan Islam. Manakala rawatan secara saintifik di hospital adalah perubatan moden semata-mata. Hakikatnya perubatan moden sebahagian daripada perubatan Islam.
Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah sendiri dalam kitabnya Tibb al-Nabawi dan Zaad al-Ma’ad menceritakan bagaimana Nabi SAW merawat menggunakan kaedah berbekam, penggunaan biji habbatussauda, madu dan bermacam lagi makanan kesihatan.
Namun, sejak akhir-akhir ini ada kaedah rawatan mula menjadi tumpuan masyarakat iaitu pembedahan batin. Selepas meneliti unsur terdapat dalam pembedahan batin diamalkan sesetengah perawat maka beberapa nas hukum perlu diperjelaskan agar tidak memberi kecelaruan kepada masyarakat dalam menilai benar atau salah.
Rawatan itu ada yang membedah tubuh badan dengan tangan kosong atau tanpa peralatan moden, membetulkan tulang tanpa sentuhan fizikal, menggunakan peralatan ghaib, perubatan jarak jauh dan seumpamanya.
Penggunaan ayat al-Quran atau doa diharuskan tetapi jika disertai dengan sihir, iaitu membabitkan jin, perbuatan itu salah kerana amalan berkenaan termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir.
Walaupun pengamal perubatan batin menyatakan ia berpegang kepada ayat al-Quran dan kaedah syarak, namun difikir secara logik, ternyata bukan mudah seseorang itu, terutama orang awam memastikan status amalan itu.
Apabila sesuatu yang di luar adat kebiasaan itu dilazimi secara berterusan seperti upacara pembedahan batin, sekali gus jelas bagi kita ia sudah terkeluar dari kaedah asas perubatan yang diizinkan.
Ia jauh daripada perubatan secara saintifik moden, ruqyah serta tibb al-Nabawi yang menepati syarak. Jelaslah kaedah perubatan secara pembedahan batin ini meminta bantuan jin kerana sesuatu yang magis dan di luar adat tidak boleh berlaku secara berterusan.
Memang ada ulama membenarkan perubatan dengan meminta pertolongan jin antaranya Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa dan ulama Saudi, Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah. Mereka mengharuskan khidmat jin dengan syarat penggunaan pada perkara diharuskan di samping wasilah juga diharuskan syarak.
Ini bermakna rawatan menggunakan khidmat jin diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Hujah mereka ialah kisah Nabi Sulaiman yang mendapatkan khidmat jin untuk memindahkan istana Puteri Balqis dari Yaman dan ini adalah kurniaan Allah SWT.
Namun, ada pendapat menolak pandangan ini kerana peristiwa Nabi Sulaiman bukan syariat yang ditinggalkan kepada kita.
Pendapat ini dihuraikan Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz, Dr Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd dan ramai lagi. Bahkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-39 pada 21 September 1995 juga memutuskan bersahabat dengan jin dengan tujuan mendapatkan pertolongan dalam perubatan, mencari kekuatan dan kehebatan ditegah syarak dan haram.
Masyarakat Islam dinasihatkan meninggalkan rawatan syubhah seperti pembedahan batin. Umat harus memahami, setiap penyakit ada penawarnya tetapi setiap penawar tidak dijamin boleh menyembuhkan. Semoga Allah membebaskan kita dari segala penyakit dengan reda-Nya, bukan diberi kesihatan dengan kemurkaanNya.
Penulis ialah juara Imam Muda musim pertama terbitan Astro Oasis

Bila kita benar benar yakin ….

Segala puji bagi Allah swt. yang memiliki langit dan bumi serta yang ada di antaranya. Kejutan hujung minggu benar benar menginsafkan diri ana secara peribadi.  Terlalu indah sebenarnya  bila kita benar benar yakin bahawa Allah swt hanya memberikan yang terbaik untuk diri manusia. Dan seketika, kita akan diuji untuk memantapkan lagi keimanan  Maka,  bagaikan hujan yang turun di tanah gersang,  maka setelah banjir  suburlah tanah tersebut. 

Semoga memembantu mengingatkan diri yang lalai .. 

Percutian yang panjang

Jangan tanya saya kenapa saya mengambil cuti yang agak panjang diakhir ramadhan. Dan apabila sahabat saya mengusulkan jawapan untuk percutian saya memburu lailatul qadar maka saya mengiyakan sahaja tanpa sebarang bicara. Ibadah 10 malam terakhir agak terlalu peribadi kerana ianya urntuk Allah swt.

Sedikit kelainan yang saya buat, semoga mendapat keberkatan dari Allah swt, tiada aktiviti ziarah ke pasar ramadhan. Yang ada hanyalah menziarah masjid, berbuka puasa di masjid, beriktikaf di masjid, bersolat maghrib dan isyak tetap pada masanya selain dari berterawikh berjemaah. Satu perubahan yang positif dan saya mendapat sokongan padu dari zaujah kesayangan saya serta anak kesayangan saya, Adam Harith.

Mereka turut serta dalam program tersebut. Pada mulanya, agak sukar untuk mengawal tingkahlaku adam, tapi syukur adam mampu membawa diri dengan baik. Alhamdulillah.

Cabaran di pagi ramadhan ..

Hari ini hari ke 3 puasa. Pagi tadi, aku bersahur roti cicah dengan kurma ayam serta salad. Walaupun isteriku tidak sempat untuk bertahjud, namun pahala serta ganjaran seorang isteri yang menyediakan makanan untuk suaminya tentunya juga besar, Insya Allah.  Walaupun hanya roti dan kurma ayam,  rasanya begitu sedap sekali. Apatah lagi ketika sama sama menikmatinya dengan isteri tersayang.  Adam,  telah dikejutkan namun,  katanya tak larat. Semoga Allah swt mengurniakan ganjaran yang setimpal dengan pengorbananmu sayangku. 

Selesai bersahur,  aku bergegas ke masjid.  Subahanallah,  biasanya hanya 2 saf sahaja tapi kerana bulan ramadhan,  jadi 5 saf.  Mungkin ramai yang lepas sahur terus ke masjid. Cabaran bagi aku ialah, bagaimana hendak mendapatkan saf yang paling depan.  Tapi sebelum itu, perlu  mendapatkan tempat meletak kereta yang paling dekat dengan pintu masjid. Masya Allah,  begitu mencabar. Kawasan tempat letak kereta penuh. Terpaksa meletakkan kereta ditepi bahu jalan.  Yang penting tidak menghalang tetamu Allah swt yang lain.  

Bulan bulan biasa,  tidak sukar mendapat tempat letak kereta. Bergerak dari rumah sewaktu azan subuh dilaungkan,  masih boleh dapat tempat letak kereta dekat dengan pintu masjid tapi kini tidak lagi.  Selesai masalah tempat letak kereta,  terpaksa berebut pula untuk mendapatkan saf yang pertama.

Di saat kaki melangkah masuk ke masjid, saf pertama dan ke 2 telah hampir penuh. Saat sampai ke saf ke tiga,  baru nak angkat takbir untuk bersolat sunat,  bilal dah pun qamat.  Allahu Akbar. Tak sempat nak bersolat tahiyatul masjid. Oleh kerana meletak kereta agak terlalu jauh, maka tidak sempat bersolat sunat. 

Kebiasaannya selesai solat subuh, ada majlis bacaan Al Quran satu muka, tapi semenjak bulan ramadhan, digantikan dengan majlis tadarus.  Oleh kerana aku kena sebelum pukul 7 malam, maka kena hantar adam awal ke sekolah tadikanya,  kena sampai pejabat sebelum pukul 8.00 pagi untuk pulang pukul 5.00 petang, maka aku tidak dapat menyertai mereka.  Lepas imam baca doa selesai solat, dah pukul 6.30 pagi.  Bergegas ke kereta lantas pulang ke rumah.  Sampai rumah sekitar 6.45 pagi. Siapkan keperluan adam dan melayan karenahnya, pukul  7.45 pagi baru keluar rumah dan akhirnya sampai pejabat sekitar pukul 8.45 pagi. 

Itulah cabaran yang aku hadapii/ akan terus menghadapinya sepanjang minggu pertama bulan ramadhan.  Berebut tempat letak kereta di luar masjid dan berebut saf pertama di dalam masjid dan berdasarkan pengalaman,  hanya seminggu  sahaja. Maka sabarlah diriku…..  seminggu sahaja … lepas tu .. masjid akan banyak tempat letak kereta dan saf pertama pasti ada ruang kosong untuk diri ku  …  Bukan kerana jumlah tempat letak kereta yang bertambah atau masjid semakin besar  tetapi  semakin kurang jemaahnya  …. 

 

Kurma, bubur lambok, kuih dan air teh….

Itulah menu berbuka puasaku. Amat berbeza dari tahun tahun yang sudah. Dengan penuh rasa rendah diri dan rasa syukur kepada Allah swt di atas nikmat yang Allah swt kurniakan kepada ku dan ahli keluargaku.

Terima kasih kepada isteri dan Adam harith yang sanggup bersusah payah bersamaku dalam melalui madrasah ramadhan. Makanlah sayangku dengan makanan yang dihantar oleh Allah swt dengan rasa syukur dan berterima kasih. Makanan yang jelas halal lagi baik….

Selamat berpuasa dan berbuka.

Salam Ramadhan

Rasanya tidak terlalu lewat mengucapkan salam ramadhan. Hari ini hari ke dua puasa.  Dan malam tadi, aku di uji dengan ujian yang paling hebat rasanya.  Keadaan kepalaku semakin sakit. Begitu juga dengan rahangku. Urat ku juga terasa tegang. 

Malam tadi, kami sekeluarga berbuka di masjid Al Mukarahmah.  Memang telah diputuskan dalam mesyuarat antara aku dengan zaujahku untuk berbuka puasa di masjid. Agar mudah untuk bersolat dan seterusnya berterawikh.  Pada malam pertama semuanya berjalan dengan baik. Adam sesekali sahaja masuk ke ruang solat. Tapi tadi malam aku benar benar rasa tercabar. Berulangkali aku nasihatkan dan pesankan, jangan lalu dihadapan orang bersolat. Lalu dibelakang orang bersolat. Jangan bermain dan berlari di saat orang bersolat..

Setelah selesai solat isyak, di saat orang sedang solat sunat, adam berlari ke arahku sambil melalui di hadapan orang yang bersolat. Hatiku begitu marah sekali. Sebelum itu, di saat orang bersolat isyak, adam berlari lari sambil melompat lompat di atas besi laluan orang cacat menghasilakn bunyi bising.  Lantas aku dukong adam dan bawa ke luar dari masjid. Dengan perasaan marah,  aku cuba memukul kaki dan cuba menampar muka adam harith. Syukur Alhamdulillah,  tanganku tidak sampai menyentuh kaki dan  muka adam. Tak sampai hati untuk aku memukul anak kecil ini.  Adam meraung, menangis.  Aku campakkan di dalam kereta, lantas aku biarkan adam bersendirian di dalam kereta seketika. Kedengaran adam menangis begitu kuat.

Semakin masa berlalu, suara adam semakin perlahan. Ku buka pintu kereta dan mula berbicara dengan adam. Tapi mungkin kemarahanku yang masih belum reda, aku terus menengking adam. Mengingatkan kembali apa yang telah dilakukannya.

Akhirnya aku pulang ke rumah bersama adam. Zaujahku  tinggalkan saja di masjid. Sampai ke rumah, aku sms zaujahku,  memaklumkan bahawa beliau perlu jalan kaki untuk pulang ke rumah. Sementara itu,  aku buatkan susu untuk adam dan mengarahkan adam untuk tidur.  Lampu ku matikan.  Dan kami berdua di atas katil  di saat orang lain sedang bersolat terawikh. 

Aku terjaga lebih kurang pukul 10 lebih.  Apabila zaujahku pulang dari masjid. Rupanya adam masih belum tidur. Menyirap lagi darahku. Lantas aku menjerit, “Pergi masuk dalam bilik adam dan tidur.  “  ..  Aku kembali tidur. 

Entah pukul berapa, tiba tiba, kaki ku terasa begitu kejang.  Begitu sakit sekali  ..  Terpaksa meminta zaujahku membantu. Menyapukan minyak pada kakiku. Alhamdulillah,  kaki semakin pulih. 

Paginya, aku tidak mampu untuk bersolat berdiri.  Aku tunaikan solat sunat terawikh , diikutinya tahjud dan ku tutp dengan witir sambil berdoa agar diberikan keberkatan dan keampunan.  Selesai bersolat,  aku kejutkan zaujahku.  Jam sudah pukul 4.30 pagi.  Aku terus ke bilik adam. Takut kalau aku telah lakukan kezaliman fizikal terhadap adam. Alhamdulillah,  tiada yang lebam.  Aku usap rambutnya sambil berdoa. Berdoa agar adam harith menjadi anak yang soleh. Yang taat kepada ayah dan ibu. Menjadi jutawan yang kaya, yang berilmu, beriman dan beramal soleh serta yang bertakwa. 

Pagi tadi,  Alhamdulillah,  mudah adam bangun, mandi pagi dan bersiap ke sekolah. Alhamdulillah. Sepanjang perjalanan ke tadika adam, aku beristigfar banyak banyak. sambil mengucap syukur kepada Allah swt. 

Aku bertanya adam, “malam nie nak ke masjid lagi ke?” , 

Adam kata, “Nak..”

Aku bertanya lagi, “Nak lari lari ?”

Adam menjawap, “Tak nak  ..  Adam nak duduk sebelah ayah saja…. “

Mungkinkah petang nanti aku akan membawa adam ke masjid lagi  ? …

Lagu Rasmi Imam Muda –

Owh ho..Owh ho…2x
Mawi:
Ke arah satu perjalanan
Dalam sebuah kehidupan
Demi untuk mengecapi
Hasrat murni di dalam hati

Usaha dengan doa itu,
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

C/O (dua-dua)
Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Tegakkan semangat bila runtuh,
Setibanya disisimu ku berserah,
Terimalah aku
Hamba mu Allah

Owh ho owh ho
Hambamu Allah…..

Mawi

Sekiranya takdir menguji
Cekalkan hasrat dihati
Semoga kesusahan bisa
Mengajar erti terus azam

Akhil Hayy

Usaha dengan doa itu,
Masanya akan tiba
Dengan restu Illahi
Kelak pasti akan ditemui

Suluhkan cahaya hati di terang
Tunjukkan jalan
Seandainnya hilang
Tegakkan perjalanan
Yang bakal ditempuh

Tegakkan semangat bila runtuh,
Setibanya disisimu ku berserah,
Terimalah aku
Hamba mu Allah

Download -