Dah lama saya tak update blog saya. Bukan kerana malas, tapi kerana rasa kesuntukkan masa. Fikiran agak bercelaru. Sekiranya anda mengikuti kemaskini yang saya buat melalui twitter dan facebook, anda dapati saya lebih banyak menumpukan kepada isteri saya.
Ada yang bertanya, kenapa dengan isteri saya. Sebelum ini, isteri saya mengadu, yang pinggangnya sakit. Dan keadaan semakin teruk setiap hari. Bermula dengan bertemu dengan doktor biasa, hingga ke Pengamal Perubatan Islam, Pengamal Perubatan Tradisional dan akhirnya minggu lepas hari Rabu dan Khamis, pakar perubatan bahagian saraf mengesahkan yang isteri saya menghadapi masalah saraf. 2 sekmen tulang belakang menekan saraf menyebabkan isteri saya merasa kebas sebelah bahagian badan.
Begitulah ujian yang melanda isteri saya. Bukan mudah hendak menghadapinya namun perlu dilalui dengan penuh ketabahan. Pelbagai pandangan dan pendapat diperolehi dari rakan rakan isteri saya melalui facebook dan kadang kadang ianya mempengaruhi pandangan dan pendirian isteri saya. Apa pun, 2 pilihan rawatan telah dicadangkan. Sama ada rawat menggunakan ubat atau melalui pembedahan. Kini isteri saya sedang menerima rawatan ubat. Masa yang di tetapkan selama 8 hingga 12 minggu. Sehingga detik itu, kesabaran dan doa perlu dipanjatkan kepada yang Maha Esa.
Sementara itu usaha alternative tetap dilakukan. Hujung minggu, saya bawa isteri bertemu dengan pengamal perubatan Homeophaty di Bandar Baru Bangi. Kita seiringkan rawatan.
Ini bukan kali pertama kami diuji dengan masalah kesihatan. Beberapa tahun lepas sebelum kehadiran adam harith, isteri saya melakukan pembedahan untuk membuang appendix.
Bagi mereka yang pernah merasa bagaimananya saat dan ketikaisteri sakit, akan memahami keadaan saya. Serabut, risau dan runsing namun saya tetap sedar bahawa ini ujian untuk kami semua. Apa yang kami perlukan ialah doa dan doa. Ribuan terima kasih di atas doa anda.