Monthly Archives: February 2010

Hadis Hari Ini:

Seorang telah melakukan satu dosa, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku ampunilah dosaku. Lalu Allah azza wa jalla berfirman: Hamba-Ku melakukan dosa dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya – dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Kemudian dia kembali melakukan dosa yang lain, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya Tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya-dalam riwayat yang lain ditambah: Aku ampunkan dosanya. Lalu dia melakukan dosa sekali lagi, dia berkata: Wahai Tuhanku aku telah melakukan dosa ampunilah dosaku. Lalu Allah berfirman: Hamba-Ku melakukan dan dia mengetahui bahawa baginya tuhan yang boleh mengampun dan menghukumnya, maka aku ampunkan hamba-Ku in, buatlah apa yang kau mahu Aku ampunkan engkau.

— HR. Bukari dan Muslim

Hadis Hari Ini:

Sesungguhnya syaitan mempengaruhi lintasan hati anak Adam dan malaikat juga mempunyai pengaruh. Pengaruh syaitan ialah mengilhamkan manusia supaya melakukan kejahatan dan membantah kebenaran. Adapun lintasan malaikat ialah mengilhamkannya melakukan kebajikan dan membenarkan kebenaran.

— HR. al-Tirmizi, Al-Nasa’I dan Ibnu Hibban

Siri Blackberry – Google Sync untuk Blackberry

Untuk siri kali ini, saya ingin memperkenalkan Google Sync untuk Blackberry (http://www.google.com/mobile/sync/). Bagi saya yang menggunakan kemudahan yang ada di dalam Google seperti Gmail untuk email dan buku alamat dan  Google Calendar untuk pengurusan masa, aplikasi Google Sync untuk Blackberry memang amat berguna.

Bagi Google Gmail dan Buku Alamat,  Blackberry Internet Service  mempunyai fungsi telah menyeragamkan (sync) email yang dipadamkan dari telefon blackberry dan buku alamat  di telefon Blackberry sementara  Goolge Sync  yang akan menyeragamkan Google Calendar.

Sekiranya anda menggunapakai penyeragaman yang terdapat di dalam BIS ( rujuk gambar di atas), pastikan anda tidak memilih untuk menyeragamkan buku alamat menggunakan Google Sync kerana ini akan mengakibatkan buku alamat anda mempunyai dua kemasukan alamat bagi satu individu (rujuk gambar di bawah).

Untuk maklumat lanjut sila ke http://google.com/support/mobile/bin/topic.py?hl=en&topic=14265

Tip: Semakin Hari Semakin Sayang: – Nasi Ayam oh Nasi Ayam

Gambar Hiasan - Gambar sebenar tidak sempat diambil kerana saya dan adam telah pun menghabiskannya. Tak sempat nak ambil gambar.

Pagi ini, saya memang berniat hendak mengeluarkan peluh. Oleh kerana, tinggal di apartment maka aktiviti seperti mencangkul, bercucuk tanam memang mustahil untuk dilakukan. Maka, ke Taman Metropolitan Keponglah tempat saya mencurahkan peluh. Aktiviti mengeluarkan peluh amat penting. Ianya dapat meredakan tekanan perasaan, kerja dan juga kehidupan. Sambil berlari atau berjalan mengelilingi tasik, dapat juga mengirup udara segar sambil melihat kehijauan tumbuhan dan kebiruan awan berarak di angkasa. Biasanya adam dan isteri tersayang akan bersama saya, tapi pagi tadi,  mereka masih lagi tidur sewaktu saya terjaga. Kesian pula hendak memaksa mereka bersama sama saya. Mungkin lain kali.

Pulang dari taman tasik,  saya teringat, semalam isteri tersayang ada menyatakan bahawa hari ini, beliau ingin masak nasi ayam. Maklumlah, adam agak sukar untuk makan nasi putih berlauk. Terpaksa memaksa atau memberikan alternatif lain seperti susu khas untuk mengisi perut apabila adam gagal dipaksa menjamah makanan.  Kami hanya mengetahui yang adam suka makan nasi berempah semasa kami makan di retoren arab. Sepinggan nasi arab habis dimakan oleh saya dan adam. Kemudian kami cuba sekali lagi dan memang terbukti  adam suka makan nasi berempah. Lantas, saya pun terus menghubungi isteri tersayang.  Bertanya apa bahan yang perlu dibeli untuk memasak nasi ayam.  Maka senarai yang saya perolehi ialah,  ayam seekor, Bawang, Halia dan  Daun Sup.

Terpinga pinga saya seketika. Itu saja ke bahan nak buat nasi ayam.  Mungkin tidak.  Oleh kerana Blackberry Storm saya boleh mengakses internet maka saya pun bertanya Google. “Resipi Nasi Ayam”. Satu muka penuh dengan url untuk resipi Nasi Ayam.  Semestinya salah satu link yang diberi adalah http://resepi.mesra.net/. Maka saya pun merujuk senarai bahan yang diperlukan. Isk lebih banyak dari apa yang tersenarai.  Berbekal senarai baru, maka saya pun menuju ke pasar dengan penuh yakin.

Ayam, saya beli dari penjual ayam yang kebetulan juga merupakan jiran saya diblok yang sama cuma berbeza tingkat saja. Ini memberikan penjual tersebut kelebihan kerana bagi saya, perlu utamakan jiran dalam beberapa perkara. Dalam perjalanan pulang, saya singgah di gerai roti canai. 5 keping roti canai untuk sarapan pagi.

Sampai di rumah, saya di sambut oleh adam. Anak kesayangan saya. Seronok apabila dapat melihat ayahnya pulang.  Yang paling best, apabila isteri tersenyum melihat saya membelikan bahan bahan yang diperlukan untuk masak nasi ayam. Lebih dari apa yang telah disenaraikan.  Satu pelukan mesra dari isteri saya terima.

Sepanjang pagi,  saya membantu isteri mengupas dan memayang bawang. Kerja biasa yang lelaki suka buat.  Selebihnya, serahkan kepada yang pakar. Setelah selesai, (malas)  hehe saya pun “temankan” adam melayan apa yang dihidangkan di kaca televisyen.  Sambil melipat selonggok baju di atas sofa.

Waktu yang paling seronok apabila Nasi Ayam telah pun sedia untuk dimakan.  Tak sempat baca doa makan, saya dan adam terus saja  menjamah Nasi Ayam. Enak dan sedap. Banyak juga saya dan adam makan.

Pengajaran:

Perkahwinan adalah satu perkongsian. Perkongsian tanggungjawab. Saling bantu membantu. Menolong antara satu sama lain. Asas kepada perkahwinan saya adalah untuk melakukan amal amal yang soleh sebanyak yang mungkin dan mengharapkan agar Allah swt memberikan yang terbaik dan dipermudahkan segala urusan. Cinta tanpa syarat,  menurut Ustaz Hasrizal (SaifulIslam.com). Itu yang saya cuba serapkan dalam diri. Melakukan amal tanpa mengharapkan pulangan dari pasangan.  Dalam keadaan isteri yang masih lagi diuji dengan kesakitan,  tak tergamak saya nak mengambil beliau di rumah, kemudian ke pasar untuk membeli bahan bahan yang diperlukan untuk memasak nasi ayam. Tidak salah kita melakukan sedikit usaha, untuk membantu meringankan urusan orang yang kita sayangi.  Kita mungkin tidak dapat membantu lebih dari apa yang mampu kita bantu tapi percayalah kita tetap boleh membantu dalam perkara lain.

Saya tidak pandai untuk memasak nasi ayam, tapi ketika isteri saya bertungkus lumus di dapur menyediakan nasi ayam, saya cuba membantu dengan cara iaitu dengan melipat baju.  Sekurang kurangnya apa yang dilakukan adalah amal amal soleh dengan harapan diterima oleh Allah swt. Amin.

Kenapa Blackberry?

Dah setahun lebih saya menggunakan telefon Blackberry. Bermula dengan Bold dan sekarang ni Storm. Ada rakan rakan yang bertanya saya, kenapa guna telefon Blackberry? Dan macam mana nak beli telefon Blackberry?

Telefon Blackberry tidak sama seperti telefon keluaran Nokia, HTC, Motorola dan Sony Ericsson. Ini kerana,  Telefon Blackberry hanya boleh dibeli dari Operator Telefon Mudah Alih seperti Celcom, Maxis dan Digi sahaja. Dan biasanya ianya terikat dengan kontrak.  Selain itu, telefon Blackberry juga perlu bersambung (connected) dengan Pelayan Blackberry sama ada Blackberry  Enterprise Server (BES) mahupun Blackberry Internet Services(BIS).

Untuk pengguna korporat, biasanya telefon Blackberry akan bersambung dengan BES yang dibeli dan dipasang di dalam pelayan syarikat  manakala bagi pengguna biasa, akan bersambung dengan BIS yang telah disediakan di Operator Telefon Mudah Alih.

Apabila telefon Blackberry  bersambung dengan BES atau BIS,  email akan dihantar (PUSH)  ke telefon Blackberry anda dalam masa nyata. Anda akan mendapat email sama seperti sms/mms.  Oleh kerana itu, syarikat Operator Telefon Mudah Alih akan mengenakan yuran penggunaan BIS. Jumlah harga yuran bergantung kepada syarikat Operator tersebut.

Contoh Pakej yang ditawarkan oleh Celcom :

http://www.celcom.com.my/biz/bd-mobile-email-devices-bbstorm2.html

Selain itu, terdapat  aplikasi lain yang boleh dipasang di dalam telefon Blackberry. Insya Allah, saya akan berkongsi berkenaan dengan aplikasi lain dalam siri yang lain.

Motivasi Diri – Dengar

Pagi ini seperti biasa, saya akan ke kedai makan untuk membeli sarapan pagi buat bonda tersayang. Biasanya saya akan sampai di kedai tersebut pukul 7.15 pagi setelah menyuntik insulin pada bonda bersama sama saya tentunya adam. Semalam, saya hanya membeli sebungkus Bihun Goreng berharga Rm1.50. Oleh kerana tiada duit kecil maka saya bagi RM2.00. Oleh kerana memang hampir setiap pagi saya akan ke kedai tersebut maka dengan bersangka baik, maka saya tinggalkan 50 sen baki untuk dibawa ke hari ini.

Pagi ini, pagi jumaat.  Boss kedai tersebut datang awal pagi. Biasanya saya membeli dari pekerja kedai makan sahaja. Kali ini saya membeli 2 bungkus Kue Tiew Goreng dan sebungkus Bihun Goreng serta sebungkus paru goreng bercili. Jumlah keseluruhan RM6.50. Ketika harga dimaklumkan kepada saya, pekerja kedai memaklumkan kepada bossnya bahawa semalam ada baki 50 sen.  Saya tak tahu apa yang boss kedai tersebut dengar tapi dari RM6.50 menjadi RM7.00

Dengan muka yang agak terkejut,  saya membayar RM7.00 lantas berlalu dengan muka selamba. Dalam hati saya,  dia nak dengar apa yang dia nak dengar yang sepatutnya, dia dengar apa yang pekerjanya beritahu.  Walaubagaimana pun saya tidaklah menuntut 50 sen tersebut. Dalam hati saya, nasib baik malam tadi malam jumaat.  Maka ikhlas hati menghalalkan apa yang terlebih.

Kemaskini Terkini – Ujian untuk Isteri

Dah lama saya tak update blog saya. Bukan kerana malas, tapi kerana rasa kesuntukkan masa. Fikiran agak bercelaru. Sekiranya anda mengikuti kemaskini yang saya buat melalui twitter dan facebook, anda dapati saya lebih banyak menumpukan kepada isteri saya.

Ada yang bertanya, kenapa dengan isteri saya. Sebelum ini, isteri saya mengadu, yang pinggangnya sakit. Dan keadaan semakin teruk setiap hari. Bermula dengan bertemu dengan doktor biasa, hingga ke Pengamal Perubatan Islam, Pengamal Perubatan Tradisional dan akhirnya minggu lepas hari Rabu dan Khamis,  pakar perubatan bahagian saraf mengesahkan yang isteri saya menghadapi masalah saraf. 2 sekmen tulang belakang menekan saraf menyebabkan isteri saya merasa kebas sebelah bahagian badan.

Begitulah ujian yang melanda isteri saya. Bukan mudah hendak menghadapinya namun perlu dilalui dengan penuh ketabahan.  Pelbagai pandangan dan pendapat diperolehi dari rakan rakan isteri saya melalui facebook dan kadang kadang ianya mempengaruhi pandangan dan pendirian isteri saya. Apa pun, 2 pilihan rawatan telah dicadangkan. Sama ada rawat menggunakan ubat atau melalui pembedahan. Kini isteri saya sedang menerima rawatan ubat. Masa yang di tetapkan selama 8 hingga 12 minggu. Sehingga detik itu, kesabaran dan doa perlu dipanjatkan kepada yang Maha Esa.

Sementara itu usaha alternative tetap dilakukan. Hujung minggu, saya bawa isteri bertemu dengan pengamal perubatan Homeophaty di Bandar Baru Bangi. Kita seiringkan rawatan.

Ini bukan kali pertama kami diuji dengan masalah kesihatan. Beberapa tahun lepas sebelum kehadiran adam harith, isteri saya melakukan pembedahan untuk membuang appendix.

Bagi mereka yang pernah merasa bagaimananya saat dan ketikaisteri sakit, akan memahami keadaan saya. Serabut, risau dan runsing namun saya tetap sedar bahawa ini ujian untuk kami semua. Apa yang kami perlukan ialah doa dan doa. Ribuan terima kasih di atas doa anda.

TeratakRindu.Net Diceroboh

Semalam,  saya baru sedar yang server http://teratakrindu.net telah diceroboh. Akibatnya,  blog ayah adam (http://serambi.teratakrindu.net ), Blog Ibu adam (http://ummiadam.teratakrindu.net ) dan blog adam (http://adamharith.teratakrindu.net ) tidak dapat diakses. Habis semua fail index.*  telah diubah kepada fail di bawah.

Setelah melaporkan kepada pihak pembekal,  pagi ini semuanya pulih seperti biasa. Terima kasih pada pihak BaitulBytes yang memperbaiki keadaan.

Blood Pressure terus meningkat.

Entah bila kali terakhir saya berjogging dan berehat ditepi tasik mahupun di tepi laut. Masa begitu cepat berlalu dan kini dah pun masuk ke bulan Febuari 2010. Badan dah memberikan tanda tanda agar diri ini berubah. Diet dan kurangkan berat badan serta ambil makanan berkhasiat.

Sepanjang bulan januari sibuk dengan tender IMM dan Aktiviti Business Plan, kini masa untuk sibukkan diri dengan aktiviti product management. Semalam ketika doktor memeriksa tekanan darah, 140/120  .. dahsyat sungguh bacaan tersebut. Punca, tentunya stress dan makan nasi arab. Nampaknya kena kurangkan makan dan lebihkan aktiviti senaman.