Monthly Archives: March 2011

Selamat Menyambut Ulangtahun perkahwinan yang ke 10.

Sepuluh tahun telah berlalu. Pejam celik, pejam celik dah sepuluh tahun aku bergelar seorang suami. Cepat sungguh rasanya masa berlalu.

Pertama sekali, Syukur Alhamdulillah, aku masih lagi tidak menerima sebarang surat dari Jabatan Agama Islam untuk dipanggil berkaunseling. Bererti, isteriku masih lagi redha dengan keadaan suaminya ini dan masih lagi boleh bersabar dengan karenah suaminya. Pastinya sekiranya isteri kesayanganku telah tidak dapat bersabar dan bertahan dengan karenahku maka ingin ku ingatkan bahawa pintu pejabat agama islam atau pejabat mufti atau pejabat khadi sentiasa terbuka kecuali cuti umum. Maka adulah kepada mereka.

Atas dasar itu, maka aku nak ucapkan ribuan terima kasih kepada isteri kesayanganku. Tanpa seorang isteri masakan aku bergelar seorang suami. Dalam coretan kali ini, ku tujukan khas buat isteri kesayanganku. Ribuan malah jutaan terima kasih ku tujukan isteri kesayangku.

Wahai isteri kesayanganku, seperti yang ku janjikan sebelum kita bernikah dahulu. Hidup dengan diriku memang susah. Tapi sebagaimana yang kujelaskan, walaupun susah mana pun kehidupan kita, akan ku usahakan agar kita tidak sampai kebuluran, akan ku usahakan agar kita tidak sampai merempat tidak mempunyai rumah dan akan ku usahakan agar kita tidak sampai meminta dan mengemis dari orang lain untuk meneruskan kehidupan.

Syukur Alhamdulillah, sehingga hari ini aku masih lagi mengingati janji ku dan aku tetap terus berusaha agar dapat ku tunaikan janji –janjiku. Aku tidak perlu lupa untuk sandarkan segala galanya pada Allah swt kerana hanya Allah swt pembantuku. Sesungguhnya aku tidak mampu menunaikan janji janjiku tanpa keizinan dari Allah swt.

Maafkan diriku kerana tidak menyediakan pembantu rumah untuk membantumu mengurus rumahtangga.

Maafkan aku kerana tidak dapat menyediakan kereta besar beserta dengan pemandu untuk membawa dirimu ke mana mana sahaja.

Maafkan aku kerana tidak apa menyediakan rumah yang besar berisi dengan perabot yang indah dan mahal ..

Maafkan aku kerana aku memilih untuk hidup “zuhud” dirimu terpaksa bersusah payah hidup bersamaku.

Yang ada hanyalah diriku, membantumu dalam urusan rumahtangga kita.

Yang ada hanyalah diriku, yang menjadi pemandumu sekiranya diperlukan dan sebuah kereta kecil untuk memudahkan dirmu bergerak.

Yang ada hanyalah rumah yang kecil, yang ku sewa, yang hanya ada keperluan untuk kita hidupa bersama.

Yang cuba ku usahakan hanyalah untuk kebahagiaan mu di akhirat.

Aku ingin melihat dirimu di depan Allah swt, timbangan amal amal solehmu berat. Segala kepenatan mu mengemas rumah, memasak makanan untuk ku, menjaga rumah tangga, kesabaran mu melayan karenah suami, sedekah jariah kepada suami mu ini di balas oleh Allah swt di akhirat kelak. Agar segala urusanmu dengan diriku selesai dan dimudahkan dirimu memasuki syurga Allah swt.

Atas dasar itu, maka ku rancangkan rancangan 5 tahun, dengan tema, menggunakan segala yang Allah swt anugerahkan kepada kita untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. Kita dah semakin tua dan sayang sekali kalau sekiranya kita tidak isikan perkahwinan kita ini dengan amal amal yang soleh. Kita sama sama beribadah, sama sama bersyukur dengan nikmat yang Allah swt kurniakan dan menggunakan nikmat tersebut untuk mendekatkan diri kita kepada Allah swt. Insya Allah.

Selamat Menyambut Ulangtahun yang ke 10. Tiada lagi bunga dan cokelat yang dihantar ke pejabatmu namun hanya doa dari suami mu dengan penuh keikhlasan agar kau menjadi isteri yang solehah.

Khas buat isteri kesayanganku ..

 

Amin ..

Merebut Cinta Allah swt.

Merebut Cinta Allah swt.

“Daripada Abbu Muslim al-khaulani daripada Mu’az bin Jabal r.a, ia berkata” “Aku mendengar Rasulullah s.a.w menceritakan daripada Tuhannya dengan sabdanya: ‘Orang yang bercinta kerana Allah swt berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya.'”

Abu Muslim menyambung: Kemudian aku keluar hingga bertemu dengan Ubadah bi al-Samit, lalu aku menyebutkan kepadanya hadis Mua’az bin Jabal, maka ia menyatakan:

‘Aku mendengar Rasulullah s.a.w. menceritakan daripda Tuhannya yang berfirman:

‘Cinta – Ku berhak untuk orang yang bercinta kerana-Ku, cinta-Ku berhak untuk orang yang saling tolong-menolong kerana-Ku dan cinta-Ku berhak untuk orang yang saling berkunjung kerana-Ku.” “Orang yang bercinta kerana Allah swt berada di atas mimbar daripada cahaya dalam naungan Arasy pada hari yang tiada naungan kecuali naungannya ” – (Riwayat Ahmad)

Nak dapatkan cinta Allah swt, kena bercinta dengan manusia kerana Allah swt dahulu. Sedih bila ada manusia yang mencari cinta Allah swt dengan meninggalkan cinta kepada manusia.

 


 
 

Kenapa saya belum berkahwin lagi satu?

Dah lama saya tidak mengemaskini laman blog saya. Pagi ini, Allah swt memberikan keizinan kepada saya untuk menulis dan berkongsi sedikit pandangan hasil dari pembacaan saya.

Semalam saya telah menerima email dari sahabat saya yang bertanya kepada saya kenapa saya masih lagi tidak berkahwin lagi satu sedangkan saya telah pun mendapat “keizinan” dari isteri saya dan dengan lapang dada saya menangguhkan menjawab persoalan tersebut. Lantas, terlintas dalam fikiran saya untuk mencoretkan apa yang ada dalam minda saya bagi menjawab soalan tersebut.

Bukan saya tidak mahu untuk menambah isteri. Seperti lelaki lain yang normal, keinganan untuk menambah isteri tetap ada dalam diri saya. Namun, isu utama yang “menghalang” saya dari menambah isteri adalah “tiada wanita sama ada anak dara mahupun janda yang memenuhi syarat utama saya iaitu berkhidmat kepada saya dan ahli keluarga saya untuk sama sama beribadah dan mendekati diri kepada Allah swt. ”

Ada yang kata, saya mencari seorang “kuli” atau “hamba abdi” atau “pembantu rumah” dan ada juga yang melemparkan tuduhan yang saya mencari isteri yang akan dimanupulasi, dikikis seluruh harta bendanya, dipersia siakan dan diambil kesempatan ke atas isteri maka jawapan saya di atas pertuduhan tersebut ialah, semoga Allah swt mengampuni anda.

Secara peribadi, apa sahaja yang ada dalam kehidupan saya, sama ada anak anak, harta benda dan isteri isteri sepatutnya mendekatkan saya kepada Allah swt. Bukan menjauhkan saya dari Pencipta saya. Semakin saya menempuhi kehidupan, semakin saya sedar bahawa tiada yang dapat mempertahankan sesuatu perkahwinan selain dari ianya dilandasi dengan peribadatan kepada Allah swt.

Kepada mereka yang berkahwin kerana cinta/harta/pangkat/keturunan, telah anda semak/muhasabah diri anda sama ada anda semakin dekat dengan Allah swt atau anda semakin jauh dari Allah swt. Adakah anda masih lagi asyik masyuk, mabuk cinta dengan isteri anda sehingga anda lalai dari mengingati Allah swt?

Alhamdulillah, sekiranya isteri anda seperti isteri saya masih lagi mengingatkan diri saya tentang peribadatan kepada Allah swt. Masih lagi mengajak suaminya untuk menjadi imam ketika hendak bersolat di saat suaminya sedang asyik leka dengan urusan dunia.

Maka kepada semua wanita yang bergelar isteri, saya kongsikan hasil penulisan yang saya baca di lama blog http://ahlussunnahunpad.wordpress.com/2010/11/25/dua-wanita-yang-terukir-indah-dalam-al-quran-karena-kekokohan-imannya/

KRA/KPI: nilai kejujuran

Setiap tahun, proses penilaian akan dilakukan untuk menyukat prestasi kerja. Maka masa itulah kuasa terletak ditangan penyelia. Ramai penyelia yang terlupa bahawa kuasa itu hanya dari Allah swt. Sebenarnya siapa menilai siapa?

Pesan dan ingatan dari saya, nilai pekerja bawahan kita dengan sifat kemanusiaan dan bukan ikut nafsu kebinatangan. Jangan lupa sumbangan yang pernah diberikan.

Hari ini kita nilai orang dengan begitu teliti, esok kita pula akan dinilai dengan begitu teliti.

Dan ingatlah di saat selepas kematian, Allah swt akan nilai kita. Sebagaimana kita nak Allah swt menutup aib kita dan mengampuni segala salah dan silap, begitu juga dengan orang yang kita nilai.

Sibuk sibuk dan sibuk ..

Alhamdulillah, segala puji pujian hanya untuk Allah swt.  Akhirnya urusan penghijrahan  saya dan keluarga telah hampir selesai.  Kami telah pun berpindah ke rumah sewa baru di Bandar Sri Damansara. Penghijrahan yang berlandaskan  cerita ashabul Kahfi . Berhijrah kerana menyelamatkan iman anak dan isteri.  Rasanya tak perlu saya  soroti kisah lalu cuma inngin berkongsi lokasi baru. 

SD Courts terletak berhampiran dengan taska adam, berhampiran dengan masjid dan berhampiran dengan rumah rakan rakan ibu adam.  Memudahkan adam ke taska,  memudahkan ayah ke masjid dan memudahkan ibu adam untuk car pooling ke pejabat. 

Maka bermulalah satu episod baru dalam kehidupan kami sekeluarga.  Bagaikan  pasangan baru mendirikan rumahtangga, segala keperluan rumah perlu dibeli secara satu persatu dan perlahan lahan.

Hidup Biar Zuhud.